”Muhamad Zamri Abdul Rahman pakar bahasa kita. Untuk pengetahuan ustaz, buku yang hari tu pun dia yang edit”
Allahu akbar, rasa pucat muka apabila diperkenalkan kepada Tuan Guru dalam satu sesi brainstorming dengan beliau dengan cara yang tidak disangka-sangka.
Dalam hati saya asyik persoalkan kenapalah dia ni cakap macam tu. Saya bukan reti sangat bahasa Melayu ni cuma saya minat mengambil tahu serba sedikit berkaitan tatabahasa dan laras bahasa. Itupun entahkan betul entahkan tidak.
”Patutlah lambat, rupanya dia suruh orang lain. Saya suruh Pian semak balik buku ni sebab banyak salah, rupanya dia suruh orang lain,”kata Tuan Guru.
Aduh, macam kena sindir je ni!
Rasa bertambah-tambah berat pula tanggungjawab ini apabila diperkenalkan seperti itu di hadapan Tuan Guru.
Tidak tidur malam dibuatnya demi memastikan yang terbaik walaupun risau tidak mampu memberikan yang terbaik.
Apabila membuat buku yang berkaitan makhluk halus ini ataupun apa-apa sahaja buku yang baik, mengajak manusia kembali kepada Allah sudah tentulah ’si dia’ tidak akan membiarkan kita membuat buku tersebut dengan sewenang-wenangnya.
Paling tidak, ‘dia’ akan menyebabkan kita menjadi malas, mengantuk yang amat sangat. ‘Dia’ sememangnya boleh menyebabkan kita berasa amat malas, mengantuk, cepat jemu dan bermacam-macam lagi.
Satu ketika, dalam proses terakhir ‘mengedit’ buku ini saya terasa malas yang amat sangat sedangkan saya perlu menyiapkannya secepat mungkin. Rasa susah untuk menghabiskannya, ditambah pula saya sudah berjaga sehingga pukul 5 pagi sedangkan ada lebih 200 muka surat lagi yang perlu disemak.
Saya kuatkan juga semangat, mandi untuk menghilangkan rasa mengantuk. Selepas itu saya solat Istikharah dan solat Hajat. Solat Istikharah meminta agar Allah mentakdirkan yang terbaik untuk buku ini, tawakal sepenuhnya kepada Allah.Solat Hajat pula memohon agar Allah memudahkan kerja saya.
Alhamdulillah, selepas itu saya berjaya menyiapkan tanggungjawab ini dengan bertemankan bacaan ‘ruqyah’ yang dibacakan oleh Sheikh Muhamad al-Juraani.~Ditambah dengan air kopi Kapal Api, betul-betul kawww dan buah anggur~
Saya menyiapkannya kira-kira jam 8.20 pagi, setinggi-tinggi syukur kepada Allah~ops, masih belum buat sujud syukur!~
Baru saya faham kenapa ulama’ terdahulu sentiasa memastikan dirinya dalam keadaan berwuduk khususnya ketika menulis buku, melakukan solat sunat sebelum menulis buku. Tidak lain adalah kerana memohon pertolongan Allah selain menjauhkan diri daripada gangguan syaitan yang sentiasa tidak tenang apabila kita melakukan perkara yang baik.
Penting untuk saya sebut di sini, kami melakukan semua ini ikhlas tanpa meminta apa-apa balasan daripada pihak pentadbiran mahupun Tuan Guru sendiri. Sedih juga mendengar cerita ‘kawan baru’ yang terus bertanya tentang komisyen dalam perjumpaan pertama. Bila difikir-fikirkan, saya tidak meminta berada di dalam ‘team’ ini tetapi ditawarkan.Mereka menawarkan diri tetapi soalan komisyen yang ditanya?
Apabila kita melakukan sesuatu ikhlas kerana Allah, tidak meminta dan mengharapkan sesuatu, tiba-tiba kita mendapat sesuatu yang tidak disangka, sudah pasti kita rasa lebih puas dan menghargainya tetapi apabila kita mengharapkan sesuatu sejak awal, biasanya kita akan kecewa dengan angan-angan itu.
Contohnya, saya tidak pernah menyangka Tuan Guru akan memberikan sedikit penghargaan kepada mereka yang terlibat dalam buku pertama terbitan DS. Tuan Guru memberikan kami penghargaan dengan memberikan duit yang diambil daripada komisyennya sendiri. Rasa sungguh gembira bukan kerana mendapat duit tetapi kerana Tuan Guru yang dikagumi sejak kecil memberi duit kepada saya.
Contoh kedua, walaupun buku kedua ini belum siap tetapi DS telah menaja kami untuk menghadiri Majlis Makan Malam Amal bersama Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat di Surau an-Nur. Kami tidak meminta diberikan ganjaran namun apabila diberikan penghargaan seperti ini, rasanya lebih manis daripada wang ringgit.
Oleh itu, marilah sama-sama kita belajar mengikhlaskan diri kerana syaitan amat tidak suka kepada mereka yang ikhlas.